Kejayaan program pendidikan prasekolah banyak bergantung kepada penghayatan, kemahiran dan sikap guru. Peranan guru prasekolah adalah kompleks kerana dari semasa ke semasa tuntutan mengenai keperluan peranan guru prasekolah berubah dan bertambah. Peranan guru prasekolah sebagai pendidik adalah penting sebagai pembina insan yang bakal menerajui negara di masa akan datang.
Perkhidmatan keguruan telah banyak mengalami perubahan sejak zaman sebelum merdeka sehinggalah kini. Kelayakan seseorang guru dalam sistem pendidikan formal adalah selari dengan peredaran zaman. Jika diimbas kembali, kita dapat melihat perkembangan kelayakan asas akademik guru yang mengajar di sekolah di negara kita berubah dengan begitu cepat. Dalam sistem pendidikan di negara kita, selain daripada kelayakan akademik terdapat pengkhususan dalam bidang pengajaran. Guru-guru di Malaysia dilatih untuk mengajar dalam bidang-bidang tertentu di sekolah. Pengkhususan bidang ini termasuklah bidang pendidikan awal kanak-kanak atau prasekolah. Latar belakang akademik yang dimiliki oleh seseorang guru dapat membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Malaysia.
