Showing posts with label UCAPAN MENTERI PELAJARAN. Show all posts
Showing posts with label UCAPAN MENTERI PELAJARAN. Show all posts

Friday, April 16, 2010

Ucapan TPM sempena Majlis Pelancaran Pemberian Geran Permulaan Prasekolah Swasta Di Bawah NKRA Pendidikan di Rawang pada 12 April 2010




 
Alhamdullillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W. T. kerana dengan izin dan kurniaNya, kita dapat berhimpun dalam satu majlis yang bersejarah ini. Sesungguhnya, majlis pada pagi ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan dalam merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Pendidikan iaitu Sub NKRA Prasekolah. Saya berasa gembira dalam tempoh empat bulan pertama sahaja, dua daripada empat sub NKRA Pendidikan telah berjaya dilancarkan. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan dalam mengkotakan apa yang telah dirancang dalam Program Transformasi Kerajaan, dengan penekanan kepada Gagasan 1 Malaysia, Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan.
2. Seperti pepatah Melayu, untuk melentur buluh biarlah dari rebungnya, pepatah ini membawa pengertian yang amat jelas bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan pembangunan seseorang kanak-kanak. Sekiranya seorang kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang berkualiti, maka diyakini kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam pendidikan yang akan dilalui pada peringkat yang lebih tinggi.
3. Menyedari kepentingan di peringkat awal kanak-kanak, maka Prasekolah telah dijadikan salah satu sub NKRA dalam bidang pendidikan. Harus diingat, walau pun Malaysia telah berjaya mencapai kadar enrolmen prasekolah yang boleh dibanggakan berdasarkan laporan UNESCO 2008 : International Pre-school Enrolment Rate, iaitu berada dikedudukkan ketujuh diperingkat antarabangsa namun didapati taburan lokasi kanak-kanak yang mengikuti kelas prasekolah ini masih tidak seimbang, contohnya di kawasan miskin bandar maupun di kawasan pedalaman, masih terdapat kanak-kanak yang belum mendapat pendidikan prasekolah. Dalam sub NKRA ini, sasaran utamanya adalah untuk meningkatkan kadar enrolmen kanak-kanak prasekolah yang berumur 4+ dan 5+ tahun kepada 87 peratus menjelang tahun 2012 dengan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman.