Friday, May 7, 2010

DOWNLOAD SLIDE: PERJUMPAAN PENGARAH DENGAN GURU PRASEKOLAH DAN PPM




VISI DAN MISI PENGARAH BERSAMA-SAMA
GURU PRASEKOLAH DAN PEMBANTU PENGURUSAN MURID PRASEKOLAH

DOWNLOAD POWER POINT TAKLIMAT POL

 
PENGISIAN:
1.  TAKLIMAT PELUPUSAN ASET (PENGISIAN BORANG KEW PA16).
2.   TAKLIMAT PENGURUSAN DAN PENGISIAN REKOD TUGASAN HARIAN PPM.
3.   ISU-ISU SEMASA.



Friday, April 16, 2010

Ucapan TPM sempena Majlis Pelancaran Pemberian Geran Permulaan Prasekolah Swasta Di Bawah NKRA Pendidikan di Rawang pada 12 April 2010




 
Alhamdullillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W. T. kerana dengan izin dan kurniaNya, kita dapat berhimpun dalam satu majlis yang bersejarah ini. Sesungguhnya, majlis pada pagi ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan dalam merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Pendidikan iaitu Sub NKRA Prasekolah. Saya berasa gembira dalam tempoh empat bulan pertama sahaja, dua daripada empat sub NKRA Pendidikan telah berjaya dilancarkan. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan dalam mengkotakan apa yang telah dirancang dalam Program Transformasi Kerajaan, dengan penekanan kepada Gagasan 1 Malaysia, Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan.
2. Seperti pepatah Melayu, untuk melentur buluh biarlah dari rebungnya, pepatah ini membawa pengertian yang amat jelas bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan pembangunan seseorang kanak-kanak. Sekiranya seorang kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang berkualiti, maka diyakini kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam pendidikan yang akan dilalui pada peringkat yang lebih tinggi.
3. Menyedari kepentingan di peringkat awal kanak-kanak, maka Prasekolah telah dijadikan salah satu sub NKRA dalam bidang pendidikan. Harus diingat, walau pun Malaysia telah berjaya mencapai kadar enrolmen prasekolah yang boleh dibanggakan berdasarkan laporan UNESCO 2008 : International Pre-school Enrolment Rate, iaitu berada dikedudukkan ketujuh diperingkat antarabangsa namun didapati taburan lokasi kanak-kanak yang mengikuti kelas prasekolah ini masih tidak seimbang, contohnya di kawasan miskin bandar maupun di kawasan pedalaman, masih terdapat kanak-kanak yang belum mendapat pendidikan prasekolah. Dalam sub NKRA ini, sasaran utamanya adalah untuk meningkatkan kadar enrolmen kanak-kanak prasekolah yang berumur 4+ dan 5+ tahun kepada 87 peratus menjelang tahun 2012 dengan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman.

Sunday, February 14, 2010

Peningkatan Status Kelayakan Guru Prasekolah di Kementerian Pelajaran Malaysia


Kejayaan program pendidikan prasekolah banyak bergantung kepada penghayatan, kemahiran dan sikap guru. Peranan guru prasekolah adalah kompleks kerana dari semasa ke semasa tuntutan mengenai keperluan peranan guru prasekolah berubah dan bertambah. Peranan guru prasekolah sebagai pendidik adalah penting sebagai pembina insan yang bakal menerajui negara di masa akan datang.
Perkhidmatan keguruan telah banyak mengalami perubahan sejak zaman sebelum merdeka sehinggalah kini. Kelayakan seseorang guru dalam sistem pendidikan formal adalah selari dengan peredaran zaman. Jika diimbas kembali, kita dapat melihat perkembangan kelayakan asas akademik guru yang mengajar di sekolah di negara kita berubah dengan begitu cepat. Dalam sistem pendidikan di negara kita, selain daripada kelayakan akademik terdapat pengkhususan dalam bidang pengajaran. Guru-guru di Malaysia dilatih untuk mengajar dalam bidang-bidang tertentu di sekolah. Pengkhususan bidang ini termasuklah bidang pendidikan awal kanak-kanak atau prasekolah. Latar belakang akademik yang dimiliki oleh seseorang guru dapat membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Malaysia.

Usia Awal Masuk sekolah


ROMBAK semula sistem pendidikan dengan mengubah kemasukan murid sekolah rendah daripada usia tujuh tahun seperti yang dipraktikkan sekarang kepada enam tahun.

Itu saranan Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) , Profesor Datuk Dr Aminah Ayob kepada Kementerian Pelajaran untuk merombak sistem pendidikan agar kanak-kanak memasuki sekolah pada usia enam tahun.

Dr Aminah mengesyorkan rombakan itu kerana kanak-kanak zaman milenium kini bersedia memasuki alam persekolahan seawal usia enam tahun berikutan mendapat pelbagai pendedahan.

Beliau berkata, lebih banyak faedah yang boleh diperoleh jika memasuki sekolah rendah dalam usia awal.



Kajian mendapati lebih 90 peratus kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun mendapat pendidikan prasekolah di negara ini.

Penyertaan Murid Prasekolah Akan Ditingkatkan



PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran mensasarkan untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak lima peratus kepada 72 peratus tahun ini dengan membabitkan kanak-kanak seawal umur empat tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu merupakan tumpuan Kementerian Pelajaran kepada usaha untuk mencapai sasaran awal bagi satu daripada empat sub bidang keberhasilan utama negara (NKRA) pendidikan tahun ini.
"Penyertaan kanak-kanak seawal umur empat tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi.
"Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid," katanya pada majlis Perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Tiga sub NKRA pendidikan yang lain ialah penguasaan 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS); melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi; dan merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi mencapai sasaran lima peratus kementerian menambah bilangan kelas prasekolah kepada 315 buah kelas dengan bilangan guru prasekolah seramai 7,511 orang pada tahun ini.
"Semua prasekolah, kerajaan mahupun swasta akan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)," katanya.
Mengenai program LINUS, beliau berkata, pengenalan program itu pada peringkat sekolah rendah akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M.
"Pada masa ini, kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah adalah 87 peratus. Sasaran bagi tahun 2010 ialah peningkatan sebanyak tiga peratus iaitu kepada 90 peratus," katanya.
Beliau berkata, guru-guru terbaik akan ditempatkan untuk mengajar Tahun 1 dan menambah bilangan guru pemulihan di sekolah pada nisbah seorang guru kepada 15 murid berbanding nisbah sedia ada iaitu seorang guru kepada satu sekolah.
Muhyiddin berkata, kumpulan guru yang bertindak sebagai fasilitator untuk membantu guruguru dalam program Linus, akan diwujudkan di semua Pejabat Pelajaran Daerah.
Beliau berkata, bermula tahun ini semua pemimpin sekolah perlu menetapkan sasaran pencapaian bagi membolehkan insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan diberikan kepada pengetua dan guru besar yang mencapai kedudukan tertinggi atas sumbangan mereka.
Mengenai Sekolah Berprestasi Tinggi, Muhyiddin berkata, sebanyak 20 buah sekolah disasarkan untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini bagi merealisasikan matlamat untuk menjadikan 100 buah sekolah dalam kumpulan ini pada tahun 2012.
Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata, 69 buah Sekolah Menengah Teknik distruktur semula untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional dan kementerian merancang program terbaik agar sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi satu daripada bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan.
Pada majlis sama, Muhyiddin turut menerima sumbangan daripada Petronas sebanyak RM2 juta bagi Tabung Kumpulan Wang Simpanan Pelajar Miskin yang menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar sekolah yang memerlukan. - BERNAMA

Thursday, January 14, 2010

BEBAN TUGAS GURU PRASEKOLAH

BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH HARIAN
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
ARAS 3 & 4, BLOK E2, PARCEL E,
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA
Telefon : 03-8884 9000
Faksimili : 03-8888 9315 ( PKICT )
03-8888 6673 (Men )

03-8884 9553 (Ren )
03-8884 9342 (Hem )

___________________________________________________________________________________________________________________________

KP(BS-Ren)403/10/11 ( 7 )
31 Julai 2008

Semua Pengarah Pelajaran
Jabatan Pelajaran Negeri

Y Bhg.Datuk/Dato'/Tuan/Puan,

BEBAN TUGAS GURU PRASEKOLAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI KELAS PRASEKOLAH
Dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas.

2. Adalah dimaklumkan Bahagian ini telah menerima maklumbalas daripada Bahagian Pembangunan Kurikulum, KP(PPK)800-4 Jld (57) yang bertarikh 4 Julai 2008 berkaitan beban tugas dalam pengajaran dan pembelajaran di kelas prasekolah. Dalam maklumbalas tersebut elah menyatakan bahawa guru-guru prasekolah mempunyai beban tugas yang tidak sahaja terhad kepada waktu 3 1/2 jam iaitu dari 8.00 pagi hingga 11.30 pagi. Kanak-kanak di prasekolah tidak boleh ditinggalkan tanpa kawalan orang dewasa. Guru prasekolah perlu berada di dalam kelas prasekolah untuk menyambut murid mulai 7.30 pagi. Guru prasekolah juga perlu berada di dalam kelas selepas 11.30 pagi sehingga semua murid telah dibawa pulang oleh ahli keluarga mereka. Pihak sekolah perlu memikul tanggungjawab menjaga keselamatan murid pada setiap masa.

3. Sehubungan dengan itu, guru prasekolah perlu menyediakan bahan yang sesuai dan menarik untuk murid yang berlainan aras perkembangan kognitif dan juga latar belakang. Bahan pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan juga menetapkan kaedah pentaksiran yang berterusan menggunakan senarai semak, rekod anekdot dan rekod berterusan (running record). Oleh itu, guru prasekolah perlu menggunakan masa selepas 11.30 pagi untuk menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran, mengemaskini rekod murid serta memastikan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) membersihkan kelas kerana kebersihan adalah amat penting untuk memastikan kanak-kanak kecil ini tidak dijangkiti penyakit.

4. Bahagian ini berpandangan bahawa adalah tidak wajar pihak pentadbir sekolah meminta guru prasekolah mengajar juga di kelas lain kerana beban tugas guru prasekolah adalah berat dan sasaran utama mereka adalah murid prasekolah.

5. Sila maklumkan kandungan surat ini kepada pegawai yang bertanggungjawab di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Gabungan/Daerah dan Guru Besar di bawah pentadbiran Y. Bhg. Datuk/Dato'/Tuan/Puan.

Sekian, terima kasih.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
Saya yang menurut perintah,

t.t
HAJI ZULKIFLY BIN MOHD WAZIR

Pengarah
Bahagian Penguruan Sekolah Harian
Kementerian Pelajaran Malaysia

s.k. 1. Ketua-ketua Bahagian Kementerian Pelajaran
2. Ketua Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pelajaran